Saturday, October 11, 2008

SEJARAH MPBP.... FLASH BACK

Institut Perguruan Tun Hussein Onn (IPTHO) terletak di tapak seluas 60 ekar di Km 7.75, Jalan Kluang, Batu Pahat, Johor bersebelahan dengan Sekolah Teknik Batu Pahat. Kawasan yang seluas 60 ekar ini pada awalnya merupakan kawasan ladang estet, kelapa sawit dan kawasan pertanian. Memandangkan kedudukannya yang strategik dan sesuai dari segi kedudukannya di tepi jalan raya utama yang menghubungkan Bandar Penggaram (Batu Pahat) dengan Kluang.

Institut Perguruan Tun Hussein Onn ini telah dibiayai pembinaannya oleh Bank Dunia. Pembinaan kampus maktab oleh LBH Construction telah dimulakan pada tahun 1987 sebagaimana yang dirancangkan dalam Perancangan Pembangunan Pendidikan dalam rancangan Malaysia ke-5. Projek dengan kos pembiayaan lebih 20 juta ringgit itu siap pada bulan April 1992 dan penyerahan rasmi oleh pihak LBH Construction kepada Kementerian Pendidikan yang diwakili oleh Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia disempurnakan pada 19 Mei 1992.

Institut yang amat indah dan dibanggai oleh semua orang ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YAB Dato' Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu pada 10 September 1994. Majlis penyampaian Diploma dan Sijil Perguruan kali pertama di maktab ini telah disampaikan oleh Tan Sri Datuk Dr. Wan Mohd. Zahid Bin Mohd. Noordin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada sebelah malamnya.

Institut ini mula beroperasi sebagai maktab perguruan yang ke-30 di Malaysia pada 1 April 1992 di bawah pimpinan Tuan Haji Elias bin Haji Md. Hanafiah sebagai Pengetua pertama. Di antara staff akademik yang awal bertugas di maktab ini ialah En. Malik bin Haji Kasdu, En. Azni Jaafar, En. Mohd Noor bin Haron, Puan Ngah Hamsiah bte Ariffin dan beberapa orang pensyarah yang lain. Sebagai "perintis' di maktab ini, mereka bukan sahaja membuat perancangan untuk menerima guru pelatih tetapi terpaksa juga melakukan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran yang kebiasaannya dilakukan oleh kakitangan pejabat atau staf sokongan yang lain.

Kumpulan guru pelatih pertama ke maktab ini ialah pada 13 Jun 1992 iaitu seramai 101 guru pelatih Kemahiran Hidup Semester 3, 76 guru pelatih Kemahiran Hidup Semester 5 dan 17 peserta Kursus Dalam Perkhidmatan (KDP-ERT) yang dipindahkan dari Maktab Perguruan Teknik (MPT) Kuala Lumpur. Diikuti dengan kemasukan guru pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) seramai 76 orang pada 29 Jun 1992 dan kemasukan guru pelatih Kursus Perguruan Asas (KPA) seramai 436 orang pada 6 Julai 1992 yang mengikuti kursus perguruan selama 2 setengah tahun (1992-1994) dalam bidang Kemahiran Hidup (KH), Pengajian Melayu & Cina (PMC), Pengajian Muzik (MU) dan Pengajian Matematik (MT). Serentak dengan itu, guru-guru pelatih Semester 3 yang baru berpindah dari MPT pula berperanan sebagai penasihat kepada beberapa jawatankuasa yang dibentuk bagi melicinkan pengendalian minggu pengurusan tersebut.

Pada 29 Jun 1992, MPBP buat pertama kalinya menerima pelatih baru yang terdiri daripada 76 orang pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang mengikuti pengkhususan Perdagangan dan Perakaunan. Pada 6 Julai 1992 seramai 460 orang pelatih baru telah mendaftar untuk mengikuti Kursus Perguruan Asas Lima Semester.

Bermula dengan sesi pengambilan Jun 1995, MPBP mengendalikan Kursus Perguruan Lepasan Diploma (KPLD) dalam bidang Kemahiran Hidup (KH) untuk Peringkat Sekolah Menengah (PSM) dengan pengambilan pertamanya seramai 60 orang. Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) telah bermula pada pengambilan Jun 1996 dengan seramai 217 orang pelatih. Sementara itu, pengambilan pelatih - pelatih KPLI Peringkat Sekolah Rendah (PSR) terus dikekalkan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Pada 1 Oktober 1994, Tuan Haji Elias telah bersara secara pilihan dan digantikan oleh Tuan Haji Kadir Bin Rashid, Naib Pengetua Institut Bahasa. Pada 16 Jun 1996, Encik Hamzah Sidang Bin Mohamad yang sebelumnya bertugas sebagai Jemaah Nazir Wilayah telah menggantikan Tuan Haji Kadir. Seterusnya kepimpinan beliau diambil alih olehTuan Haji Ibrahim Bin Mat Isa pada 16 Oktober 1996 yang sebelum itu menjadi Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang.

Pada 1 Oktober 1997, MPBP telah menerima Pengetua baru iatu Encik Abdul Malek Bin Ismail dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Sebelum pertukaran beliau sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Melaka pada 16 Mei 1998,banyak perubahan telah beliau lakukan. Antaranya ialah senamrobikpada setiap hari Khamis jam 5 petang, lanjutan perkhidmatan perpustakaan pada setiap malam Isnin, Selasa dan Rabu jam 9 malamhingga 11 malam dan perasmian lagu dan logo "GIGIH MENDIDIK".